Monday, July 20, 2009

KURSUS HAJI

KURSUS HAJI INTENSIF.

Minggu ini aku 2 hari aku menghadiri kursus haji intensif di Dewan Besar Tabung Haji, Jalan Tun Razak. Selama 2 hari ni, apa yang telah aku pelajari dalam kursus haji selama 17 siri telah dirangkumi dalam 2 hari ini. Hari pertama, Sabtu, 18.07.09 mula dengan pendaftaran dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang kami semua bakal jemaah haji yang terpilih dan standby diberi penerangan yang lengkap tapi ringkas oleh Ustaz Tuan Haji Mohd Yassin Salleh. Aku rasa betul-betul faham dengan penerangan yang diberikan. Tak boring dan oklah ustaz tu buat lawak. Kelas yang dari awal pagi hingga ke petang nampaknya cukup memberi ilmu yang bermanfaat khasnya dalam bab haji ni. Aku berniat macam nak buat haji ifrad-haji yang paling afdal dari tiga jenis ibadat haji iaitu haji ifrad, tamattuk dan qiran. Rata-rata yang aku tanya kat jemaah ari tu semua naik buat haji tamattuk. Haji tamattuk ni kata ustaz, pilihan haji jemaah dari Malaysia.tu pun kalau aku dapat penerbangan akhir ke Tanah Suci. Insya Allah aku hanya berharap dan berdoa mudah2an Allah kabulkan. Amin

Penerangan Mengenai Ibadat Haji


Haji Bermaksud : “ Mengunjungi Baitullah al-Haram dalam bulan-bulan Haji kerana mengerjakan Tawaf, Saie dan Wuquf di Padang Arafah (manasik haji) ”

Haji merupakan ibadat Islam yang merangkumi aspek Hati ( ruhiyyah ), Jasad ( jasadiyyah ) dan Harta ( maliyyah ).

1 – Gambaran Dan Kedudukan jemaah haji.
2 – Ganjaran Haji Mabrur.
3 – Aspek Pengorbanan dan Kesabaran yang perlu dimiliki oleh setiap jemaah dan petugas haji.

GAMBARAN DAN KEADAAN JEMAAH HAJI

Dalam Surah al-Hajj ayat 27-28 memberikan gambaran perintah menunaikan haji dan tindakbalas manusia terhadap seruan berkenaan :

وَأَذِّن فِى النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالاً وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ
عَمِيقٍ (27) لِيَشْهَدُوا مَنَـفِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُواْ اسْمَ اللهِ فِى أَيَّامٍ مَعْلُومَـتٍ

Bermaksud : Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh (27) Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan meyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu…. (28)

Setelah Nabi Ibrahim as selesai membina Ka’abah, baginda diperintah untuk memanggil seluruh manusia untuk menunaikan haji. Lalu Baginda naik ke atas Jabal Abu Qubais dan melaungkan : “ Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan haji ke rumah ini, agar kamu memperolehi ganjaran syurga dan menjauhkan kamu dari azab neraka. Maka tunaikanlah haji. ” Seruan ini dijawab oleh setiap orang yang masih berada dalam sulbi bapa mereka dan rahim ibu mereka dengan ucapan “ لبيك اللهم لبيك ”

Gambaran-gambaran kehadiran manusia setelah seruan haji oleh bapa para Anbiya’ :

1-Kedatangan jemaah haji secara berjalan kaki.

2-Menaiki unta yang telah kurus yang datang dari pelbagai ceruk yang jauh. Unta yang dijadikan untuk permusafiran biasanya adalah diantara unta yang terbaik, sihat dan kuat. Disebabkan perjalanan haji yang sulit dan jauh, lalu Allah mengambarkan unta sebagai kenderaan manusia zaman dahulu turut mengalami kesukaran dan kesulitan hingga menjadi kurus dan lemah, apatah lagi kesukaran yang dihadapi oleh manusia yang sudah tentunya lebih lemah daripada kenderaan itu.

3-Rasulullah s.a.w mengambarkan bahawa jemaah haji yang sedang berihram itu dalam keadaan “ أَشْعَتُ أَغْبَرْ ” iaitu dalam keadaan kusut masai, badan berdebu dan rambut menggerbang tidak berminyak.

Dengan itu persediaan mental dan fizikal akan disediakan dari awal, bagi menghadapi kesukaran yang akan berlaku. Bagaimanapun segala apa sahaja persediaan yang diatur itu, hanyalah untuk meminimumkan kesukaran sahaja, bukannya menghapuskan terus kesukaran berkenaan.

KEDUDUKAN JEMAAH HAJI

1-Disisi Allah jemaah haji diberikan kedudukan yang amat tinggi.

2-Rasulullah s.a.w menyifatkan jemaah haji sebagai tetamu Allah. Kedudukan mereka disamakan dengan kedudukan para pejuang di jalan Allah.

3-Disamping itu keistimewaan lain turut diberikan di mana sekirannya mereka berdoa, ia akan dimakbulkan dan jika mereka meminta ia akan dikurniakan.

- Rasulullah s.a.w bersabda :

الغَازِي فِى سَبِيلِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَالْحَاجُ وَالْمُعْتَمِرُ وَفَدَ الله :
دَعَاهُمْ فَأَجَابُوهُ ، وَسَأَلُوهُ فَأَعْطَاهُمْ .

Maksudnya : Para pejuang pada jalan Allah Azza Wajalla, jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah, jika mereka berdoa ia akan dimakbulkan dan jika mereka meminta ia akan diberikan.

- Keistimewaan yang diberikan kepada jemaah haji ini adalah bersifat umum walaupun Imam Nawawi menyatakan bahawa doa yang dimakbulkan di sini adalah dimaksudkan bagi haji yang mabrur sahaja.

GANJARAN HAJI DAN SYARAT GANJARAN

1-Amalan haji yang diterima oleh Allah adalah Syurga.

- Rasullullah s.a.w bersabda :

العُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا . وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ ، لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ .

Maksudnya : Antara satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya. Manakala haji yang mabrur, ganjarannya hanyalah syurga.( Sahih Muslim Syarah Nawawi : Bab Fadlu al-Hajj wa al-Umrah )

Ganjaran yang dijanjikan itu adalah terikat dengan syarat-syaratnya, berdasarkan Firman Allah s.w.t yang tegas dalam ayat 197 Surah al-Baqarah ;

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَـتٌ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوقَ وَلاَ جِدَالَ فِى الْحَجِّ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللهُ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى وَاتَّقُونِ يَـأُوْلِى الأَلْبَبِ (197)

Terjemahan : ( Masa untuk mengerjakan ibadat ) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya ( dengan niat mengerjakan ) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal itu ialah memelihara diri ( dari keaiban meminta sedekah ) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal ( yang dapat memikir dan memahaminya ).

2-Rasulullah s.a.w pula menegaskan ganjaran yang bakal diterima adalah sebagai keampunan segala dosa, dalam sabda baginda ;

مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّه . ( رواه إمام البخاري )
Maksudnya : Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah, lalu dia tidak melakukan rafath dan fusuq, dia telah kembali sama seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.

3-Walaupun begitu semua ganjaran itu mestilah dimulai dengan ketulusan niat dalam menunaikan ibadat. Allah s.w.t berfirman ;

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ … ( البقرة 196 )
Terjemahan : Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.

- Gambaran mereka yang mendapat ganjaran, hasil daripada selesai melaksanakan amalan haji dan menghayatinya akan sentiasa ingat, rindu dan dekatnya diri kepada Allah, ini adalah merupakan bukti amalan berkenaan diterima oleh Allah s.w.t. Berdasarkan Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat 198-200.

ASPEK PENGORBANAN DAN KESABARAN

1- Ibadat Haji merupakan suatu lapangan jihad, yang memerlukan pengorbanan kerana kepayahan dalam menunaikannya dan ganjaran yang sangat besar untuknya.

- Rasulullah s.a.w menyifatkan bahawa haji mabrur adalah suatu jihad dan tingkatannya amat tinggi bagi kaum wanita ;

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ يَا رَسُولَ اللهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلاَ نُجَاهِدُ قَالَ لاَ لَكِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ .
Maksudnya : Daripada Aisyah ra katanya : Wahai Rasulullah, kami melihat bahawa jihad adalah amalan paling baik. Bolehkah kami berjihad ? Sabda baginda : Tidak, sebaik-baik jihad bagi kaum ( kaum wanita ) adalah haji yang mabrur.

Gambaran ini jelas menunjukan bahawa ibadat haji adalah suatu kesulitan dan kepayahan yang menghampiri kepayahan melakukan jihad. Ia memerlukan pengorbanan harta, masa, tenaga dan jiwa raga demi mencapai reda Allah dan memperolehi ganjaran besar yang dijanjikan.

- Persediaan Untuk Kesabaran

1-Persediaan ilmu, aspek kejiwaan dan persediaan harta secukupnya.

2-Ibadat Haji merupakan ibadat kemuncak di dalam Islam.

3-Ibadat Haji menghimpunkan amalan-amalan yang dijalankan sejak Nabi Adam as hingga Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai lambang kesatuan akidah dan kembalinya umat kepada asal usul penciptaan dan fitrah mereka.

4-Ibadat Haji bukti pengabdian seorang hamba kepada Tuhannya.

- Penghayatan Amalan Membawa Kesabaran

1-Bermula daripada awal pemusafiran ke Mekah dalam keadaan berihram – tujuan utama adalah mendapat Keredaan Allah Dan Takwa. Segala cabaran, rintangan dan halangan akan dipandang ringan.

2-Pemukiman di Tanah Haram Mekah – nanti pula adalah suatu latihan persediaan untuk melakukan ibadat yang lebih besar. Ibarat orang yang keluar dari kubur menuju Mahsyar dalam keadaan kebingungan.

3-Wuquf di Arafah – adalah kemuncak lambang ketundukan dan persamaan semua manusia. Gambaran awal perhimpunan di Padang Mahsyar.

4-Perjalanan Menuju Muzdalifah Dan Mina – ibarat perjalanan mereka diteruskan dari medan penghakiman hari Kiamat setelah dijatuhkan hukuman. Mereka berada di Muzdalifah dan Mina adalah ibarat orang-orang bersalah dan berdosa sedang menunggu syafaat yang akan dianugerahkan oleh yang berkelayakan.

5-Mabit di Muzdalifah dan Mina – adalah suatu tanda kepatuhan mutlak kepada arahan dan perintah demi kurniaan keredaan Allah. Juga tanda kesyukuran setelah dikurniakan kelebihan, rahmat dan keampunan di Arafah.

6-Melontar Jamrah – adalah ibarat usaha untuk membebaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu dan godaan syaitan disamping mengingati kisah Nabi Ibrahim as. Juga sebagai bukti dilontarkan keluar semua faktor kejahatan dan godaan dunia yang disebabkan oleh syaitan dari dalam diri.

7-Sembelihan Korban – sebagai tanda keikhlasan untuk Allah dan kesyukuran atas kurniaan menunaikan manasik, serta untuk membebaskan diri dari sifat kedekut dan bakhil. Juga sebagai mengenang kembali kisah penyembelihan Ismail as oleh ayahnya sendiri Ibrahim as.

8-Tawaf – adalah lambang kecintaan seorang hamba kepada Tuhannya dan mengagungkan Rumahnya. Dari itu hadirlah rasa pengharapan dan mengagungkan Allah serta bayangkan bahawa amalan ini adalah umpama tawaf para Malaikat di ‘Arasy.

9-Saie antara Safa dan Marwah – adalah ibarat berulang aliknya seorang hamba di halaman Rajanya ( Allah ) bagi menunjukkan keikhlasannya untuk berkhidmat. Juga umpama berulang alik seorang hamba di hadapan Mizannya pada hari Kiamat, apakah amalan baik atau buruknya yang lebih berat. Disamping itu sebagai memperingati kepayahan hidup Siti Hajar dan Ismail as semata-mata kerana mematuhi perintah Allah sewaktu ditinggal bersendirian oleh Ibrahim as.

10-Bergunting Dan Bercukur – adalah ibarat digugurkan segala maksiat dan dosa yang selama ini sudah sebati dengan tubuh badan.

11-Pantang Larang Dalam Haji – agar jemaah haji yang melaksanakan ibadat haji meninggalkan segala adat kebiasaan dan kemewahannya serta menanggalkan segala kebanggaan dan keistimewaannya berbanding orang lain. Dengan satu fesyen iaitu pakaian orang mati, dan melalui cara ini hati akan bersih, suci dan ia akan merasai hakikat pengabdiannya kepada Allah dan merasai rasa persaudaraan dengan manusia lain yang tiada tolok bandingnya.

-Melalui penghayatan dalam melaksanakan ibadat, kekhusyukan akan diperolehi, dengan itu segala kepayahan dan kepenatan akan menjadi ringan. Secara tidak langsung kesabaran akan datang dan ketenangan jiwa akan diperolehi.

KESIMPULAN

Haji merupakan Madrasah bagi membaiki semula diri manusia yang telah rosak sebahagian daripadanya. Sejak lahir manusia tidak pernah dibaiki dirinya secara menyeluruh melalui amalan yang melibatkan jasad, ruh dan harta. Ia adalah suatu latihan praktikal bagi membetulkan segala penyimpangan diri manusia, setelah sekian lama dilatih melalui sembahyang, puasa dan zakat, maka giliran haji tiba untuk membaiki diri manusia dalam suatu tempoh dan keadaan yang amat mencabar jiwa manusia.

Haji adalah bengkel pembaikan rohani dan jasmani umat Islam. Tanpa memahami tujuan haji disyariatkan, kesabaran dan pengorbanan tidak akan dimiliki dan janji syurga tidak akan diperolehi.


No comments:

Post a Comment